Sabtu, Oktober 24, 2009

Biola Cinta

“Ina, katakanlah kau ada ‘boyfriend’ kat Kuantan nanti, jangan lupa ‘inform’ kat aku ye..”


 “Apa yang kau merepek ni?”


aku hairan dengan kata-kata Aisyah.


“Malam tadi aku mimpi kau ada ‘boyfriend’, betul la tu kan.”


Dia memandang sambil senyum sinis kepadaku.


 “ Kau ni mengarutlah, tahyul semua tu, kita mana boleh percaya.”


Aku mengerutkan dahi.


“Ala.. kau ingat jelah pesan aku ni ye.”


Itu kata-kata terakhir Aisyah, sahabat baikku di kampus ketika semesta terakhir kami di situ. Aku hanya teringat akan bait kata-kata Aisyah itu ketika aku melihat gambar Aisyah yang kusimpan di dalam album.


Tetapi mungkin juga benar kata-kata Aisyah, aku merasakan sudah terpikat dengan seorang jejaka yang bekerja di kedai alat muzik di pasaraya. Beberapa hari yang lepas ketika aku membeli barang berdekatan dengan kedai itu, aku tidak sengaja terpandang sebelah sisi lelaki yang asyik bermain biola. Pada pertama kali aku melihatnya, aku terpana seketika, melihat ketampanan wajahnya dan kemerduan alunan biola yang dimainkannya. Aku tenang seakan duduk sebelahnya di tepi pantai sambil dia memainkan lagu yang sungguh merdu untukku.


Sudah seminggu, pada setiap petang aku akan ke kedai di mana tempat jejaka itu bekerja, mengikut gerak hatiku untuk mendengar alunan biolanya. Tetapi pada satu petang yang meresahkanku, aku menunggu hampir dua jam, jejaka itu tidak kelihatan sama sekali. Keesokkan harinya aku kembali lagi, ianya tetap sama. Tiada langsung kelibat beliau. Aku seakan putus asa kerana sudah empat hari aku tidak melihat beliau di kedai itu. Hatiku mula gelisah, di akal fikiran bermacam-macam persoalan dan andaian. ‘Entah-entah dia sudah berhenti kerja’ kata hatiku.


Gerak hatiku selalu ingin menanyakan khabar kepada pemilik kedai alat muzik tersebut. Disebabkan sebelum ini aku tidak pernah menjejaki kaki ke kedai tersebut, ini membuatkan langkah ku kaku, selama ini aku hanya melihat dan mendengar dari luar sahaja.Aku takut, aku takut jika aku pergi bertanya bimbang dia bertanya tentang aku, dan apa hubungan aku dengan jejaka itu, aku risau tak tahu nak jawab apa. Aku tak mahu jejaka itu atau sesiapa tahu keberadaan aku di sini selama ini.


Selang beberapa hari aku menjengah lagi, dan aku berharap dia ada di kedai itu hari ini, dan setiba aku di sana, tiba-tiba..


“ Hai Saudari, Assalamualaikum.”


Aku menoleh kebelakang, betapa terkejut besar aku bila jejaka yang aku rindui selama seminggu tidak melihatnya tiba-tiba muncul di depanku.


“Waalaikummussalam”


aku menjawab lambat-lambat kerana badanku bergetar-getar seperti kesejukan, jantungku berdegup kencang. Masakan orang yang kurindui ada di depanku, seakan akalku tidak mempercayainya.


“Saudari menunggu saya ye”


Hah, dia tahu ke keberadaan aku di sini selama ini?


“A...A...”


aku kaku tak tahu nak jawab apa.


“A.. apa? Tak dapat jawab sebab memang betul awak menanti saya kan?”


dia bersuara lagi sambil menaikkan keningnya yang agak lebat sehingga hampir bersambung satu sama lain.


 “Apa maksud awak? Kenapa pulak saya nak tunggu awak, kita bukan kenal pun.”


 Aku cuba berdalih. Tidak mahu dia mengetahui kewujudan aku di sini hampir tiap hari sejak dua minggu kebelakangan ini.
.
“Yeke? Tapi saya perasan awak ada berdiri di sini sejak minggu lepas, betulkan?”


Mingu lepas? Memang dia betul-betul perasan agaknya.Tetapi kemungkin minggu lepas saja dia tahu aku di sini, kerana seminggu ini dia tidak kelihatan langsung di kedai. Memang aku agak malu untuk mengakuinya. Muka aku terasa panas, kemungkinan menjadi kemerahan disebabkan kulitku agak cerah.


“Saya.. saya tunggu kawan.”


Aku cuba lagi untuk berdalih.


“Tunggu kawan? Dekat sini? Boleh percaya ke?”


“tak percaya sudahlah”.


“Apa-apa jelah, mari ikut saya masuk ke kedai, tunggu dekat dalam, luar ni panas, nanti muka elok-elok putih gebu, jadi hitam macam arang.”


Dia berceloteh, dia mungkin memahami keadaan aku dan mengajak aku mengekori masuk ke kedai, aku cuma mencuih mulut lalu mengekori dari belakang. Terlalu mudah aku terus mempercayainya, sedangkan sebelum ini aku memang kurang berkenalan dengan lelaki. Hari ini talah menjadi sejarah dalam hidup aku bertemu dengan jejaka yang betul-betul memenuhi sifat jejaka yang aku idamkan. Aku tersenyum sendiri di dalam hati sambil memandang langkah beliau dari belakang.
 
***
 
Satu hari aku mendapat pesanan ringkas(SMS) dari jejaka yang aku kenali beberapa hari lepas.


 ‘Assalamualaikum, hari ini saya nak ajak awak ke satu tempat. Awak tunggu saya di kedai, nanti lepas habis waktu kerja, kita terus pergi’.


Aku membaca mesej sambil tersenyum, elok juga aku keluar daripada aku bosan tinggal sendiri di rumah, memandangkan mak dan abah pergi ‘outstation’ atas urusan kerja.
Aku teringat pada hari pertama aku masuk ke kedainya, dia ketawa bila aku memberitahunya tujuan sebenar aku tercegat di depan kedai selama ini. Aku tersenyum sendiri sambil ‘handphone’ aku campak atas katil dan bergegas untuk mandi.
 
Woow! Aku amat terpegun. Ini kali pertama dalam hidup aku melihat taman yang begitu indah yang mana selama ini aku tidak pernah tahu kewujudannya. Jejaka bernama Hisyam yang baru aku kenali membawa aku ke tempat yang membangkitkan ketenangan bagi sesiapa sahaja yang mengunjunginya. Dilengkapi dengan taman bunga yang mempunyai pelbagai jenis bunga. Tasik yang panjang, di tengahnya terdapat jambatan kecil untuk dilalui. Air yang tenang, udara yang nyaman. Sedetik di hati, aku bersyukur pada Pencipta kerana mengurniakan semua ini.
 
Aku hanya mengekori Hisyam yang kelihatannya dia sudah terlalu biasa dengan tempat ini, ditangannya dipegang biola dan satu beg kecil, dan aku pula membawa beg plastik berisi sedikit makanan dan air minuman. Di bawah satu pohon besar berdekatan dengan tasik, dia membentangi tikar kecil.


“Silakan duduk Tuan Puteri”


dia berbahasakan diri ku dengan panggilan tuan puteri, sungguh romantis. Sedang aku mengeluarkan air minuman dari beg plastik, satu bunyi yang hampir mengejutkan aku, aku menoleh ke kanan rupanya bunyi alunan muzik dari biola yang dimainkannya. Katanya itu adalah biola kesayangannya. Sungguh indah, alunan muzik terus membuai jiwa aku yang mabuk akan rindu terhadap lelaki di hadapan aku ketika ini. Kenangan waktu ini tidak mungkin aku lupakan buat selamanya.
 
***
 
Hari berganti hari,minggu berganti minggu, bulan berganti bulan, aku sudah jatuh cinta dengan jejaka yang bernama Hisyam. Dan aku tahu dia juga mempunyai perasaan yang sama denganku, namun dia tidak pernah mahu meluahkan apa yang disimpannya, dan aku tidak tahu apa sebabnya. Aku pula sememangnya tidak mungkin mengatakan cintaku dahulu, aku tidak mahu dilabel ‘perigi mencari timba’.


Hinggalah suatu hari aku mendapat berita yang amat mengejutkan dari adiknya,Asie. Hisyam dimasukkan ke hospital. Berita yang mengemparkan itu membuatkan aku bergegas ke hospital lalu terus ke unit ICU hospital di mana Hisyam di tempatkan.
Aku bersalaman dengan Makdah, mak kepada Hisyam yang baru aku kenali dua minggu lepas, ketika itu Hisyam membawa aku bertemu dengan keluarganya. Muka Makdah kelihatan pucat. Mungkin disebabkan kerisauan di hati terhadap anaknya.


Belum sempat aku meletakkan punggung di atas kerusi bersebelahan Makdah, aku ditarik oleh Asie,adik kepada Hisyam ke satu sudut tidak jauh dari Makdah. Dia terus memulakan bicaranya,


“Kak, Asie mintak maaf, Asie tak beritahu akak tentang abang sejak kita kenal dulu, Asie dah nasihatkan Abang tapi dia suruh Asie rahsiakan semua ni, Asie serba salah kak, sebab Asie perasan yang akak ada simpan perasaan dengan abang,minta maaf ye Kak, dan abang pun pernah beritahu Asie yang dia juga mempunyai perasaan yang sama terhadap akak.”


Aku khusyuk mendengar kata-kata Asie hanya berdiam dan terkejut dengan apa yang diberitahu. Asie terus melanjutkan kata-katanya yang membuatkan aku lebih berpinar-pinar kepala.


“ Kak, sebenarnya abang sudah lama menghidap Hipotensi(tekanan darah rendah), itu hanya permulaan sahaja, Abang degil tak mahu ikut kata doktor, dan sekarang Abang diserang sakit jantung. Dahulu abang pernah dimaksudkan ke wad seminggu disebabkan pengsan tiba-tiba semasa dia mahu bersiap untuk ke tempat kerja, kalau abang...”


aku terduduk dan kepalaku menunduk ke bawah sambil airmataku mengalir tanpa ada segan silu dengan orang di sekeliling termasuk Makdah yang memandangku dari jauh. Aku hanya mendengar sayu-sayu suara Asie yang meneruskan bicaranya. Baru aku tahu dahulu sebelum aku mengenali Hisyam, hampir seminggu aku tidak melihatnya ketika aku menjengah ke kedai tempat dia bekerja. Rupanya...


***


Selang beberapa hari, aku dibenarkan Makdah untuk menjenguk Hisyam. Ketika aku melangkah kaki memasuki bilik Hisyam di hospital, aku melihat sebujur tubuh terbaring tanpa ada gerak-geri sedikit pun. Aku menghampiri dan sekali lagi air mataku tidak dapat ku tahan jatuh mengalir ke pipi. Wajahnya pucat, wayar-wayar serabut di badannya membuatkan aku semakin pilu. Aku tidak sanggup melihat orang yang aku sayang dalam keadaan begini. Aku meluru keluar dengan esakku yang semakin pantas.


Kali kedua aku menjenguk Hisyam, aku cekalkan hati untuk duduk di sebelahnya. Asie memberitahuku pagi ini, semalam Hisyam sudah sedarkan diri, dan menurut Asie, Hisyam mencariku, dan dia kembali tidak sedarkan diri. Aku membuka sampul yang diberi Asie kepada aku sebentar tadi, coretan yang ditulis Hisyam untuk aku. Pilu, sedih, itulah yang aku rasa ketika aku membaca coretan luahan isi hati sebenar Hisyam terhadap aku. Air mata tidak dapat ku tahan terus mengalir membasahi pipi, aku terus membaca coretan yang mana dalam masa yang sama membuat aku senang kerana persoalan yang selama ini berlegar di benak fikiran terjawab jua..

Sakinah,
Namamu seindah wajahmu yang membuat hati ini terpaku,
Suaramu membuatkan malamku tidak terisi akan kekosongan.
Dengan biolaku aku mengarang cintaku padamu,



Tetapi sukar bagiku untuk meluahkannya,
Kerana kita tidak dijodohkan bersama,
Kamu tidak sepantasnya denganku,
Kerana ada yang lebih baik untukmu di luar sana,
Mana mungkin orang sepertiku memilikimu,



Aku seakan berdosa mencintaimu,
Kerana ku tahu aku tidak lama di dunia,
Aku senang bila kamu disampingku,
Tetapi kita tidak mungkin bersama,



Maafkan aku sakinah kerana menyayangimu,
Hatiku akan tetap milikmu sehingga akhir hayatku,
Cintaku, Sayangku, Untukmu.....



Hisyam



Tiba-tiba tanganku berasa sejuk, seakan ada yang mengengam. Aku mendongakkan kepala, sepasang mata memandang wajahku dengan keadaan mata separa terbuka. Hisyam! Hisyam sudah sedar! Jerit hatiku. Aku membalas gengaman Hisyam. Mulutnya seakan ingin dibuka untuk berbicara, tetapi ku mengerti dia tidak berdaya. Aku berdiri dan mendekatkan telingaku ke mulutnya. Satu ungkapan yang memanah jiwaku,


‘Saya sayang Ina’.


Aku terduduk. Airmataku yang tadi berhenti buat seketika mengalir semula. Dia turut membasahi pipinya dengan airmata lelaki yang jarang sekali aku lihat. Kelihatannya dia juga seperti ku yang rindu akan keadaan saat ini. Dalam esakkan, aku cuba bersuara.


“ Syam, Ina juga sayang Hisyam”


luahan hati yang aku nanti-nanti selama ini akhirnya terluah juga.


“Kenapa Syam rahsiakan semua ini dari Ina, Ina tak sanggup tengok keadaan Syam macam ni. Kalau Syam sayang Ina, Syam perlu luahkan pada Ina, Ina sanggup terima walau apapun. Ina..”


Esakkan tangisku semakin kuat membuatkan gengaman Hisyam semakin erat. Susah untuk aku mengeluarkan kata-kata. Aku cuba redakan esakkan kerana aku tak mahu Hisyam terus-terusan dengan tangisnya. Aku cuba bersuara,


“Hisyam, sudahlah, Syam rehat, Ina faham keadaan Syam, apapun Ina tetap disamping Hisyam. Ina betul-betul sayang Hisyam, Syam cepat sembuh ya.”


Hisyam hanya mengangguk kecil tandanya dia mengerti. Kini ku mengetahui yang sayangku terbalas jua. Hisyam jejaka yang pertama dalam hidupku yang membuat hatiku menerima apa itu cinta.


***


Keesokkannya aku kembali ke hospital. Ketika langkah kakiku memasuki pintu bilik hisyam. Aku terdengar sedu tangisan dari Makdah.


“Syam, kau nak tinggalkan mak ke Hisyam, mak dah tak ada sesiapa, cuma kau dengan adik kau, ayah kau dah lama pergi, jangan kau ikut jejak ayah terlalu awal, mak sedih, Syam. Mak sedih.”


Hisyam dalam keadaan terbaring kaku, tidak bergerak sedikit pun. Matanya tertutup, adakah Hisyam...? hati ku berdegup kencang tiba-tiba.


Alhamdulillah.. jarinya bergerak sedikit ketika aku menghampirinya. Makdah yang duduk di pinggir katil bersama Asie hanya memandang ku. Aku bersalaman, lalu Asie bersuara,


 “kak, Abang, kak”.


“Kenapa dengan abang?”


Asie menghampiriku,


"Abang dah tak lama dengan kita, kata doktor, jantung abang tidak dapat diselamatkan. Ia perlu dibedah dan diganti jantung lain kerana ianya sudah semakin sukar untuk berfungsi sepenuhnya. Tetapi buat masa ini, tiada jantung penderma yang ada untuk diganti.”


Asie menerangkan kepada aku perlahan dalam keadaan suaranya yang serak akibat menangis. Aku tidak mampu mengeluarkan kata-kata.


Jejaka yang pertama menyentuh hatiku kini terbaring di atas katil dan tidak mampu bergerak seperti insan lain. Aku pilu memerhatikan keadaan Hisyam yang sudah semakin nazak. Sudah berhari-hari Hisyam ditempatkan di wad dengan ditemani oleh Makdah dan kadang-kadang dengan Asie selepas dia pulang dari sekolah. Aku hanya duduk disebelah kiri Hisyam sementara Asie dan Makdah di sebelah kanan. Tiba-tiba doktor datang memasuki bilik mengejutkan kami,


“saya ada berita baik untuk pesakit.”


Kami semua memandang tepat ke arah doktor seperti tidak sabar menunggu beliau menyampaikan berita itu.


 “ Ada satu jantung yang serasi dengan pesakit, keluarga pemilik sebenar jantung tersebut membenarkan jantung itu diderma atas permintaan pemilik sebelum dia meninggal.”


Betapa bersyukur Makdah apabila dia mendengar berita baik dari doktor. Dia separa menjerit mengucapkan syukur kepada Allah lalu memeluk Hisyam yang terbaring tidak sedarkan diri.


***


Tok!tok!tok! kedengaran pintu rumahku diketuk, aku bergegas membuka pintu. Kelihatan muka yang amat lesu di depan pintu, Asie datang dengan di tangannya memegang biola. Ya, aku kenal biola itu. Milik Hisyam tetapi... kenapa ada di tangan Asie?


 “Kak, biola ini memang seharusnya berada dengan akak, akak memang layak untuk menyimpannya.”


Dengan keadaan aku yang sedikit terkejut, aku hanya menghulurkankan tangan dan mengambil biola yang diserahkan oleh Asie bersama sekeping cakera padat yang dirakam oleh Hisyam untuk aku, kata Asie.


Seminggu ketiadaan Hisyam, masih tidak menghilangkan bengkak di mata Asie ketika aku memerhatikan matanya sewaktu dia mahu pulang tadi. Hisyam, jejaka yang aku sangka akan membahagiakan aku pada waktu hari-hariku hidup di dunia ini, rupanya tidak. Dia kembali kepada Allah, belum sempat dia menjalani pembedahan pemindahan jantung. Aku redha dengan ketentuan Illahi dan aku bersyukur pada Allah kerana pertemukan aku dengan insan yang sungguh sempurna bagiku.


Aku duduk di ruang tamu, lalu aku memasukkan cakera padat ke dalam ‘cd player’ sambil tanganku memegang biola kesayangan Hisyam, orang yang aku cintai yang tidak akan aku lupakan bagi sepanjang hidupku..


Biola cinta,
Kau sebagai tanda cintaku padanya,
Orang yang aku damba bagi setiap nafasku,
Menjadikan aku kuat untuk hidup,
Yang selama ini aku inginkan,


Biola cinta,
Kau mengingatkanku padanya,
Setiap alunan muzik dari tubuh,
Membuatnya tersenyum,
Membuatnya girang sekali,


Biola cinta,
Kau membuat aku kenali insan bernama Sakinah,
Insan yang tidak mungkin aku jauhi,
Walaupun untuk seketika,
Aku terlalu menyayanginya,


Biola cinta,
Aku amat berterima kasih,
Kerna dikau aku bahagia,
Biarpun sementara,
Dengan insan yang sempurna sepertinya,
Yang tidak mungkin aku ketemu lagi,
Untuk selamanya....


Biola cinta.......


Fa’3_Faith


(19:23,24 Oktober 2009)


4 ulasan:

MiDoRi-kun berkata...

sangat menarik..

good job...

:D

saya sedia membaca yang akan datang punya..hehe

fa3gnola88 berkata...

terima kasih MiDoRi-kun,
InsyaAllah nanti satu lgi cerpen akan menyusul bertajuk 'SELAMAT HARI JADI AYAH'.

tunggu ye..

MiDoRi-kun berkata...

can't wait :D

fa3gnola88 berkata...

erm..
sabar ye..
hehe..
mungkin bulan depan saye akan keluarkan sbb sye bajet sebln utk satu cerpen..
saye masih menunggu sambutan bagi cerpen nih..